.:: KALAM : MENGATASI BUTA HURUF @ KIA2M ::.

.:: KALAM : MENGATASI BUTA HURUF @ KIA2M ::.
.:: Sangat sesuai untuk kanak-kanak 3-5 tahun, Prasekolah, Pemulihan dan KIA2M ::..

Rabu, 17 Jun 2009

Inisiatif pendidikan global jadi tumpuan persidangan

GENTING HIGHLANDS: Forum Pemegang Kepentingan Pendidikan yang diadakan sempena Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 (17CCEM) bermula hari ini akan memberi penekanan kepada inisiatif pendidikan global, termasuk Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MDG) dan Pendidikan Untuk Semua (EFA). Forum anjuran Yayasan Komanwel bersama Institut Aminuddin Baki (IAB) menyediakan platform kepada pelbagai pihak berkepentingan seperti pertubuhan awam, sektor swasta dan akademia untuk membincangkan isu dan cabaran pendidikan dalam Komanwel. Pengarah IAB yang juga Pengerusi Bersama jawatankuasa penganjur forum itu, Dr Khair Mohamad Yusof, berkata pengisiannya selaras fokus 'Menjalin Hubungan dan Membina Usahasama: Ke Arah dan Melangkaui Matlamat dan Sasaran Global' serta empat tema kecil yang ditetapkan bagi program itu.
Tema kecil itu ialah menjadikan pembelajaran dan akses inklusif satu realiti; mencapai kontinum dalam pendidikan; menakrifkan semula kualiti dalam pendidikan dan merealisasikan potensi pemain bukan kerajaan. "Proses penentuan dan pemilihan isu yang akan diketengahkan dalam forum itu dilakukan secara amat teliti supaya ia tidak hanya mewakili kepentingan setempat tetapi mesti juga boleh diguna pakai negara Komanwel lain," katanya ketika ditemui di IAB di sini, semalam. Malaysia julung kalinya menjadi tuan rumah 17CCEM yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai hari ini hingga 19 Jun, 50 tahun selepas persidangan pertama diadakan di Oxford, United Kingdom, pada 1959.
17CCEM dianjurkan bersama Sekretariat Komanwel, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan fokus kepada tema 'Pendidikan Dalam Komanwel: Ke Arah dan Melangkaui Matlamat dan Sasaran Global.' Selain Forum Pemegang Kepentingan Pendidikan, Forum Guru, Forum Belia dan Forum Naib Canselor akan turut diadakan sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

NUTP tak setuju lanjut Kursus Perguruan Lepasan Ijazah 18 bulan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah cadangan Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) daripada setahun kepada 18 bulan. Presidennya, Hashim Adnan, berkata tempoh setahun sudah memadai kerana pelatih terbabit sebelum ini sudah menghabiskan masa empat tahun di universiti. "Jika kita fikir secara logik mereka sudah belajar bertahun-tahun di universiti. Kalau dicampur dengan tempoh belajar pada peringkat KPLI jika ia dilanjutkan, hampir enam tahun baru mereka dapat merasa gaji," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datuk Misrah Ibrahim, berkata pihaknya kini pada peringkat akhir memuktamadkan kertas kerja mengenai cadangan itu dan paling awal ia akan dilaksanakan pada pengambilan Januari depan. Misrah berkata, keputusan itu diambil berikutan desakan pelbagai pihak yang mendakwa tempoh setahun sekarang kurang berkesan dalam melahirkan guru berkualiti. Hashim sebaliknya mencadangkan supaya tempoh latihan praktikal dilanjutkan, berbanding tiga bulan sekarang.
Beliau juga mencadangkan sistem pengambilan ke KPLI diperkemaskan bagi memastikan pelajar betul-betul berminat untuk menjadi guru. "Saya mencadangkan supaya kementerian mengadakan minggu suai kenal selama dua minggu bagi memberi ruang kepada pelajar untuk menarik diri daripada menyertai KPLI jika merasakan tidak sesuai untuk berkhidmat sebagai guru. "Sistem ini diguna pakai bagi pengambilan kadet anggota tentera dan polis. Jika yang terpilih semuanya terhadap profesion keguruan, maka kerajaan tidak akan rugi dan mereka pun cepat dapat berkhidmat," katanya. Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob, juga berpendapat bahawa tempoh setahun pengajian KPLI sudah memadai.
Aminah bersetuju jika tempoh praktikal pelajar KPLI dilanjutkan bagi memberi pendedahan sewajarnya kepada bakal guru. "Apa yang penting adalah kandungan dan penyampaian pedagogi dengan sempurna, pembelajaran secara mikro serta latihan tiga bulan di sekolah dapat membantu mereka menjadi guru yang berkualiti," katanya.

Isnin, 15 Jun 2009

Majlis Walimatulurus

Pada 7hb yang lalu sempat jugak la kawan bersama dengan family kawan memenuhi undangan majlis perkahwinan di Kapar Kelang. nak kata penat memang put coz kawan baru balik dari Ipoh jenguk2 budak kawan yang main hoki MSSM 2009 mewakili Johor di Ipoh.

..