.:: KALAM : MENGATASI BUTA HURUF @ KIA2M ::.

.:: KALAM : MENGATASI BUTA HURUF @ KIA2M ::.
.:: Sangat sesuai untuk kanak-kanak 3-5 tahun, Prasekolah, Pemulihan dan KIA2M ::..

Rabu, 17 Jun 2009

Inisiatif pendidikan global jadi tumpuan persidangan

GENTING HIGHLANDS: Forum Pemegang Kepentingan Pendidikan yang diadakan sempena Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 (17CCEM) bermula hari ini akan memberi penekanan kepada inisiatif pendidikan global, termasuk Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MDG) dan Pendidikan Untuk Semua (EFA). Forum anjuran Yayasan Komanwel bersama Institut Aminuddin Baki (IAB) menyediakan platform kepada pelbagai pihak berkepentingan seperti pertubuhan awam, sektor swasta dan akademia untuk membincangkan isu dan cabaran pendidikan dalam Komanwel. Pengarah IAB yang juga Pengerusi Bersama jawatankuasa penganjur forum itu, Dr Khair Mohamad Yusof, berkata pengisiannya selaras fokus 'Menjalin Hubungan dan Membina Usahasama: Ke Arah dan Melangkaui Matlamat dan Sasaran Global' serta empat tema kecil yang ditetapkan bagi program itu.
Tema kecil itu ialah menjadikan pembelajaran dan akses inklusif satu realiti; mencapai kontinum dalam pendidikan; menakrifkan semula kualiti dalam pendidikan dan merealisasikan potensi pemain bukan kerajaan. "Proses penentuan dan pemilihan isu yang akan diketengahkan dalam forum itu dilakukan secara amat teliti supaya ia tidak hanya mewakili kepentingan setempat tetapi mesti juga boleh diguna pakai negara Komanwel lain," katanya ketika ditemui di IAB di sini, semalam. Malaysia julung kalinya menjadi tuan rumah 17CCEM yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai hari ini hingga 19 Jun, 50 tahun selepas persidangan pertama diadakan di Oxford, United Kingdom, pada 1959.
17CCEM dianjurkan bersama Sekretariat Komanwel, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan fokus kepada tema 'Pendidikan Dalam Komanwel: Ke Arah dan Melangkaui Matlamat dan Sasaran Global.' Selain Forum Pemegang Kepentingan Pendidikan, Forum Guru, Forum Belia dan Forum Naib Canselor akan turut diadakan sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

0 ulasan: